Tuesday 13 May 2014

Drama Tiang Cengal Dinding Sayung



Tiang Cengal Dinding Sayung
(Suriani Mohd Yusof)

SINOPSIS

        Mak Jimah isteri Pak Jumaat menghadapi kesedihan apabila Pak Jumaat didapati hilang semasa kejadian ombak tsunami di Kedah. Anak-anak Jimah iaitu Sabri, Shahrul, Sabriah dan Salmah, manakala Sani anak angkatnya cuba menenangkan perasaan Jimah agar sabar dengan takdir Tuhan. Shahrul meminta pertolongan Sani agar menyatakan hasratnya pulang ke Kuala Lumpur kepada emaknya kerana telah tamat cuti, sebaliknya Sani meminta Shahrul sendiri memberitahunya. Sabriah yang panas baran baru balik dari London menyalahkan bapaknya (Jumaat) yang terus turun ke laut untuk menangkap ikan. Sebenarnya dia telah mengirim wang kepada ibu bapanya supaya mereka tidak perlu bekerja. Sikapnya ditegur oleh Pak Man jiran mereka yang tidak memahami Jimah. Salmah merupakan anak Jimah yang baru balik dengan pakaian seksi dimarahi Sabriah supaya menukar pakaian sebelum berjumpa emaknya. Berlaku pertengkaran antara Sabri dan Sabriah untuk menyerahkan tugas menjaga emak mereka. Sikap mereka ditegur Pak Man. Sikap anak-anaknya menyebabkan Jimah menyerahkan kembali buku bank hasil pemberian mereka. Sabriah memarahi Jimah yang masih berharap bapa mereka akan selamat. 

       Dalam keadaan kecoh itu Wahid dan Senin mengambil kesempatan untuk menipu serta mencuri barangan mangsa tsunami.

         Akhirnya Jumaat dijumpai dan dikhabarkan oleh Man Bengap serta menyatakan Sani sahaja diminta menemani Jimah menjemput Jumaat di balai polis. Walau bagaimanapun, atas sikap bertolak ansur Sani maka mereka sama-sama menjemput Jumaat. Sabriah, Salmah, Shahrul memohon maaf kepada Jimah. Pak Man dan Mak Jah terharu dengan peristiwa itu. Atas pengajaran peristiwa yang menimpa Mak Jah, maka Pak Man berfikir bahawa dia harus bersyukur mempunyai Man Bengap walaupun hanya sebagai cucu angkat tetapi dapat menghiburkannya terutama dalam masa dia dan isterinya sunyi.

PEMIKIRAN
Kesetiaan isteri dan kasih sayang isteri dan anak-anak terhadap ketua keluarga (suami/bapa) serta kepincangan sikap anak-anak dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai anak-anak.


PERSOALAN

1. Persoalan kasih sayang isteri kepada suami yang tidak berbelah bagi.

2. Persoalan sikap hormat menghormati antara ahli keluarga.

3. Persoalan simpati atas nasib malang yang menimpa seseorang.

4. Persoalan jujur dan amanah dalam menyampaikan maklumat.

5. Persoalan sikap sabar dan tabah dalam menghadapi dugaan dan cabaran hidup.

6. Persoalan kepincangan masyarakat yang mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain.


WATAK DAN PERWATAKAN

Watak Utama

1. Jimah
· Isteri Jumaat, berusia 55 tahun
· Seorang yang setia, penyayang dan bertanggungjawab. Setiap hari Jimah ke tepi pantai menanti kepulangan suaminya yang hilang di tengah laut.
· Sabar dengan dugaan dengan berdoa. Jimah sentiasa berfikir dan berdoa pada Tuhan sejak kejadian suaminya hilang di laut.

Watak Sampingan
2. Sani
· Anak angkat Jimah – seorang doktor dan telah beristeri
· Seorang yang bertanggungjawab dan sabar. Sangat mengambil berat akan emaknya terutama ketika bapanya hilang di laut.

3. Sabri
· Anak sulung Jimah
· Mengetuai ahli keluarga
· Penybar. Sabri mahu semua adik beradiknya memujuk emaknya selagi mayat bapa mereka tidak dijumpai.

4. Sabariah
· Graduan ekonomi bekerja di London
· Panas baran, anak kedua dalam keluarga. Dia menyalahkan bapanya kerana tidak berhenti pergi ke laut walaupun wang belanja bulanan dikirim setiap bulan.
· Tidak sukakan Sani. Sabariah memarahi Sani supaya tidak memandai-mandai dan berdolak dalik tentang soal kematian. Dia juga menginggatkan bahawa Sani bukanlah ahli keluarga mereka.

5. Shahrul
· Anak ketiga dalam keluarga
· Seorang akauntan di Kuala Lumpur
· Mementingkan kerjayanya. Shahrul hendak balik ke Kuala Lumpur walaupun mayat bapanya belum dijumpai.
· Berselisih faham dengan Sani. Shahrul sindir menyindir dengan Sani ketika dia pulang ke rumah emaknya.

6. Salmah
· Seorang pereka fesyen
· Seorang yang mengikut fesyen terkini. Salmah pulang ke rumah dengan hanya memakai skirt.
· Lebih mementingkan kerjayanya. Salmah lewat pulang ke kampung atas urusan pekerjaan.

7. Wan Malin
· Isteri Sani
· Banyak membantu Sani menjaga Jimah. Wan Malin berjanji dengan Jimah akan bersama-sama mentuanya itu menunggu bapa mentuanya sehingga pulang.

8. Man Bengap
· Pemuda kurang akal tetapi lurus bendul. Dia menyebut mayat untuk bangkai ikan dugong sehingga menyebabkan Pak man ketawa.
· Cucu angkat Pak Man

9. Pak Man
· Jiran Jimah yang prihatin dengan kelurga Jimah. Pak Man menyuruh isterinya Mak Jah memujuk Jimah yang begitu sedih dengan kehilangan suaminya. Beliau bimbang akan kesihatan Jimah yang setiap hari pulang lewat malam dari pantai.
· Banyak memberi nasihat kepada anak-anak Jimah. Pak Man menasihati anak-anak Jimah supaya bertanggungjawab apabila musibah menimpa ketua keluarga.

10. Mak Jah
· Isteri Pak Man
· Seorang yang penyayang. Mak Jah sanggup bersama-sam keluarga Jimah menenangkan mereka ketika mereka bersedih kehilangan bapa mereka di laut.

11. Wahid dan Senin
· Penjahat yang mengambil kesempatan. Mereka berpura-pura ditugaskan membanci kerugian yang di hadapi mangsa Tsunami.
· Mencuri harta mangsa tsunami. Mereka hendak mencuri barang di rumah Jumaat semasa ketiadaan orang di rumah tersebut.

LATAR
Latar masyarakat

· Masyarakat penyayang iaitu menyayangi anak-anak contohnya sikap Jimah dan Jumaat yang tidak mahu menyusahkan anak-anak mereka dalam mencari rezeki pada usia emas.

· Masyarakat yang prihatin dalam memberi bantuan, misalnya Pak Man yang datang menziarahi keluarga Jimah semasa kehilangan Jumaat.

· Masyarakat yang berpendidikan, misalnya anak-anak Jimah yang berjaya dengan kerjaya masing-masing, Salmah sebagai pereka fesyen, Sani sebagai doktor, Shahrul sebagai akauntan.

· Masyarakat yang mementingkan kerjaya misalnya Shahrul yang ingin kembali ke Kuala Lumpur setelah tamat cutinya.

· Masyarakat yang menghormati orang yang lebih tua misalnya Sani dan Wan Malini yang menghormati Jimah dan Jumaat.


NILAI

1. Nilai kasih sayang kepada suami. Jimah menangisi kehilangan suaminya berterusan.

2. Nilai kesetiaan seorang isteri kepada suami. Misalnya Jimah tetap setia menanti suaminya yang hilang.

3. Nilai hormat-menghormati orang yang lebih tua. Misalnya Sani tetap menghormati Sabariah walaupun kerap dimarahinya.

4. Nilai nasihat-menasihati. Pak Man menasihati Sabariah supaya tidak menghina Sani anak angkat emaknya.

5. Nilai tanggungjawab anak-anak kepada ibu bapa. Misalnya Sani dan Wan Malini terus menjaga Jimah dan Jumaat setiap hari.

PENGAJARAN

1. Kita hendaklah menjalankan tanggungjawab dengan sebaik memberi pendidikan kepada anak-anaknya. Contohnya Pak Jumaat dan Mak Jah memberi pendidikan kepada anak-anaknya sehingga ke universiti.

2. Kita hendaklah mengenang jasa ibu bapa yang telah membesarkan kita. Misalnya menyayangi mereka sepenuh hati walaupun dibesarkan oleh keluarga angkat sahaja.

3. Kita perlu menyesal dan insaf terhadap kelemahan kita. Contohnya Sabariah insaf atas kesilapannya yang tidak dapat meluangkan masa dengan ibu bapanya.

4. Kita perlu bersyukur dengan apa-apa yang kita miliki, misalnya Man Bengap bersyukur dengan kehidupannya yang serba kekurangan.

5. Kita perlu menjaga hubungan yang baik dalam keluarga.

6. Kita perlu berjimat cermat dalam berbelanja. Misalnya Pak Jumaat menyimpan duit yang dikirim oleh anak-anaknya.

Nota Syair Makna Riak


Syair Makna Riak
MAKSUD:
Rangkap 1: 
Riak merupakan satu perbuatan atau sifat baik untuk menunjuk-nunjuk kepada orang ramai.  Perbuatan ini dibenci oleh tuhan kerana mendatangkan syirik.

Rangkap 2: 
Kadang-kadang perbuatan riak ini ditunjukkan dengan cara berpuasa, bercakap dengan lemah lembut dan melakukan sesuatu perkara tanpa menghiraukan kepentingan diri.

Rangkap 3: 
Dia melakukan perkara itu agar orang menganggap dirinya wali yang tidak peduli hal dunia.  Perbuatannya nampak baik tetapi sebenarnya dia sekadar berpura-pura.

Rangkap 4: 
Kadang-kadang riaknya dilakukan dengan meninggi-ninggikan kelebihan ilmunya.  Dia sentiasa membaca al-quran dan memberi ceramah.  Namun perkara yang betul dan salah semua dicampur aduk.

Rangkap 5: 
Kadang-kadang dia bercakap seolah-olah idea/fikirannya logik.  Seolah-olah telah membuat penyelidikan supaya dia disangka cerdik.  Oleh itu, banyak orang ingin menjadikannya sebagai menantu.

Rangkap 6: 
Kadang-kadang orang riak dengan cara berpakaian.  Mereka berserban dan sejadah sentiasa terletak di bahunya serta di tangannnya memegang tasbih. 

Rangkap 7: 
Duduk bersila dan mata terpejam sambil berzikir menyebut nama Allah.  Gayanya keterlaluan seolah-olah dialah ketua.

Rangkap 8:
Riak boleh mendatangkan bala.  Amalan kita akan ditolak dan Allah tidak suka dengan sifat riak.

TEMA
Syair ini mengemukakan tema tentang sifat-sifat manusia yang riak.

PERSOALAN
1.     Persoalan sifat riak merupakan sifat yang dibenci oleh tuhan.
2.     Persoalan terdapat golongan manusia yang suka menunjuk-nunjuk tentang kelebihan diri.
3.     Persoalan ilmu yang dimiliki digunakan untuk kepentingan diri
4.     Persoalan kehidupan orang yang riak pasti tidak mendapat keberkatan – amalan tidak diterima oleh Allah.

NILAI
1.     Nilai kesyukuran
Contoh:  bersyukur dengan ilmu yang dimiliki.
2.     Nilai kesederhanaan
Contoh: bersederhana dalam segala perbuatan tanpa menunjuk-nunjuk.

PENGAJARAN
1.     Kita janganlah bersifat riak.
2.     Kita janganlah suka menunjuk-nunjuk kelebihan yang ada pada diri kita.
3.     Kita haruslah menggunakan ilmu yang dimiliki ke arah jalan benar.
4.     Kita hendaklah melakukan sesuatu perkara dengan ikhlas.

5.     Kita janganlah melakukan perkara yang membawa kepada syirik.

Latihan Syair Makna Riak

LATIHAN 1


Baca syair di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Syair Makna Riak


Kemudian dinyatakan makna riak,

Amal ibadat kerana manusia,

Inilah kebencian Tuhan yang sedaya,

Sebab kerana syirikkan Dia.


Terkadang riak pula dilakukan,

Mengiringkan beberapa puasa tak makan,

Bertutur itu suara diperlahankan,

Tubuh dan badan tidak dihiraukan.


Supaya disangka ianya wali,

Akan dunia tidak peduli,

Hemahnya itu sangatlah ali,

Tetapi hatinya ke dunia bertali.


Terkadang riakkan ia berilmu,

Bersurah ketika orang berjamu

Berkata-kata tidaklah jemu,

Nahu dan sarap habis diramu,


Terkadang bercakap ilmunya mantik,

Bicara alhayat konon diselidik,

Supaya disangka ianya cerdik,

Sukalah orang memberinya gundik.


Terkadang riak dengan pakaian,

Berserban lilit ekor berhambayan,

Sejadah di bahu bersampaian,

Tasbih di tangan beruitan.


Pejamkan mata duduk bersila,

Lidah berzikir Allah Taala,

Terkadang jazbah seperti gila,

Kasadnya hendak jadi kepala.



Riak demikian menjadi balak,

Amal itu tentu ditolak,

Terkadang dilemparkan ke mukanya pulak,

Allah Taala sualak.


(i) Apakah maksud riak seperti yang dijelaskan oleh syair di atas?                                           [2 markah]


(ii) Pada pendapat anda, mengapakah segelintir masyarakat suka mengamalkan sikap riak dalam perlakuan mereka?                                                                                                                                 [3 markah]


(iii) Huraikan dua pengajaran yang terdapat dalam syair di atas.                                               [4 markah]


LATIHAN 2

(i) Apakah akibat yang akan diterima oleh seseorang yang bersikap riak? [2 markah]


(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah seseorang itu dapat menghindari sikap riak? [3 markah]


(iii) Huraikan dua nilai kemanusiaan yang terdapat dalam syair di atas. [4markah]


LATIHAN 3

(i) Mengapakah Tuhan benci akan sikap riak? [2 markah]


(ii) Pada pendapat anda, apakah kesan yang akan diterima oleh seseorang yang bersikap riak dalam pergaulannya dengan masyarakat? [3 markah]


(iii) Huraikan dua persoalan yang terdapat dalam syair di atas. [4 markah]





Latihan Tatabahasa-Mencerakin/ Memisahkan Ayat

Anda mesti menggugurkan kata hubung, penanda wacana dan tanda baca. Kemudiaan kenal pasti subjek dan predikat ayat-ayat tunggal yang akan ditulis. Selamat mencuba.

SPM 2006

Soalan 2(b)
Cerakinkan setiap ayat majmuk di bawah kepada dua ayat tunggal

           i.    Adakah Encik Amran hendak ke Muzium Negara atau ke Puterajaya.
          ii.    Pendebat itu petah berhujah dan bijak mematahkan hujah lawan.
         iii.    Siswazah yang berpandangan jauh tidak mengharapkan kerja makan gaji sahaja.

[6m]

Jawapan Peribahasa

Latihan Peribahasa

Latihan 1

Jawapan :-

(i) Ukur baju di badan sendiri.

(ii) Bagai telur di hujung tanduk.

(iii) Bagai mencurahkan air ke daun keladi.

Latihan 2

 Jawapan :-

 (i) Buah mulut. 

(ii) Menang jadi arang, kalah jadi abu. 

(iii) Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

 Latihan 3
Jawapan :-

i. Harapkan pagar, pagar makan padi / biar pecah diperut, jangan pecah dimulut / mulut tempayan. 

ii. Rambut sama hitam, hati lain-lain. 

iii. Nasi sudah menjadi bubur / sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Latihan 4

Jawapan :-

(i) -belakang parang kalau diasah lagikan tajam 

(ii) -biduk lalu kiambang bertaut 

(iii) -yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran/ mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan

Latihan 5

Jawapan :-

(i) -bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian 

(ii) -banyak orang, banyak ragam 

(iii) -lain dahulu, lain sekarang 

(iv) -barang yang lepas jangan dikenang, sudah menjadi hak orang lain 

(v) -tak sungguh, orang tak kata 

(v) -ada budi boleh dibalas

Latihan 6

Jawapan :-

(i) Biar lambat asalkan selamat / pandu cermat jiwa selamat. 

(ii) Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. 

(iii) Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Latihan 7

Jawapan :-

(i) Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi 

(ii) Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih / jika tidak dipecah ruyung di manakan dapat sagunya 

(iii) Rajin dan usaha tangga kejayaan / di mana ada kemahuan di situ ada kejayaan

Latihan 8

Jawapan :-

(i) Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya 

(ii) Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain 

(iii) Sudah terhantuk baru tengadah

 Latihan 9

Jawapan :-

(i) Bumi mana yang tidak ditimpa hujan

(ii) Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri

(iii) Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga

Latihan 10

Jawapan :-

i.   Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. 
ii.  Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. 
iii. Bak cendawan tumbuh selepas hujan.


Latihan Tatabahasa-Peribahasa

Salam sejahtera untuk murid-murid 5D & 5F. Harap kalian sudah bersedia menghadapi Kertas BM pada hari Khamis. Sebagai persediaan murid-murid boleh mencuba latihan peribahasa dan tatabahasa yang saya akan muat turun dalam blog ini. Anda boleh menyemak jawapan sendiri.


Latihan Peribahasa

Latihan 1

Nyatakan peribahasa yang sesuai untuk menerangkan situasi di bawah. Anda hanya perlu menulis peribahasa yang berkenaan sahaja. 

(i) Setiap perkara yang hendak kita lakukan itu biarlah sesuai dengan kemampuan diri. 

(ii) Perihal orang yang berada dalam keadaan yang sangat cemas. 

(iii) Usaha menasihati seseorang yang sia-sia sahaja.


Latihan 2

Kemukakan satu peribahasa yang menggambarkan setiap situasi di bawah. 

(i) Perkara yang menjadi bahan percakapan orang. 

(ii) Pergaduhan yang tidak menguntungkan sesiapa. 

(iii) Keadaan hidup seseorang yang sangat daif.


 Latihan 3

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan tiga situasi berbeza yang terdapat dalam petikan tersebut. 

Aku dengan Amirah bersahabat baik sejak kecil. Aku mempercayai dirinya dan yakin bahawa dia dapat menyimpan rahsiaku, namun telahanku silap. Amirah telah menceritakan rahsia peribadiku kepada orang lain sedangkan sebelum ini dia pernah berjanji untuk menyimpan rahsia tersebut walau berlaku apa-apa sekalipun. Betullah kata orang tua-tua bahawa kita tidak boleh menyamakan orang lain seperti diri kita. Mungkin sekarang Amirah sudah berubah. Sungguhpun begitu, tiada apa-apa yang boleh dibuat lagi. Semuanya sudah terlambat. Aku tidak mempercayainya lagi.

Latihan 4

Baca petikan situasi di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan satu peribahasa yang menggambarkan setiap situasi tersebut. 

(i) Abu tergolong dalam kelompok pelajar yang lemah di sekolah. Namun, dia belajar setiap hari dengan bersungguh-sungguh tanpa jemu. Akhirnya, beliau dapat menguasai pelajaran setanding dengan rakan-rakan di kelas cemerlang. 

(ii) Perpecahan dan pertelingkahan antara penduduk kampung akibat kehadiran lelaki yang mengajarkan ilmu sesat itu dapat diselesaikan apabila dia dibuang negeri. 

(iii) Ismail mendapat khabar bahawa dia berjaya dalam temu duga untuk jawatan yang dipohon. Tanpa berfikir panjang, dia berhenti daripada ker]a yang dijawat sekarang kerana pendapatannya kecil. Malangnya, dia gagal mendapat pekerjaan itu dan kehilangan jawatan yang sedia ada.


Latihan 5

Lengkapkan peribahasa yang berikut. 

(i) Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian 

(ii) Banyak udang, banyak garam 

(iii) Lain hulu lain parang 

(iv) Asal kapas menjadi benang, dari benang menjadi kain 

(v) Tak tumbuh tak melata 

(vi) Ada ubi ada batas


Latihan 6

Berdasarkan pernyataan berikut, nyatakan peribahasa yang paling sesuai bagi setiap situasi di bawah. 

(i) Sikap tergesa-gesa pasti mengundang mala petaka jika tidak berhati-hati ketika berada di jalan raya. Ingatan inilah yang perlu disematkan dalam minda para pemandu, penunggang dan pengguna jalan raya. 

(ii) Duit raya yang diterima oleh kanak-kanak wajar dimanfaatkan sebaik-baiknya dengan cara menyimpannya di dalam bank untuk masa depan mereka. Amalan menabung merupakan satu tindakan yang baik dan mengajar seseorang berjimat cermat. 

(iii) Aktiviti bergotong-royong yang dilakukan oleh. penduduk kampung tersebut berjaya menarik penyertaan lebih 150 penduduk pelbagai peringkat umur. Aktiviti seumpama ini merupakan satu titik permulaan bagi menyemai nilai murni di samping dapat mengukuhkan hubungan semangat kejiranan sesama mereka.

Latihan 7

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang terdapat dalam petikan ini. 

Pada hakikatnya, semua pelajar tidak kira Cina, Melayu atau India mampu meraih kecemerlangan jika ada kesungguhan. Hal itulah yang dibuktikan oleh seorang anak muda dari kampung yang berjaya menempatkan dirinya dengan pelajar bukan Melayu pada majlis penyampaian hadiah yang diadakan baru-baru ini. Menurut beliau, faktor cemburu melihat rakan sebaya yang lain berjaya dengan cemerlang menambah tekadnya untuk terus bersaing dalam bidang akademik. Baginya kalau orang lain boleh berjaya, mengapa kita tidak boleh berjaya. Oleh itu, beliau sentiasa berusaha bersungguh-­sungguh dengan berkorban masa dan tenaga serta menguruskan masa dengan terancang. Berkat kesungguhannya, beliau berjaya memperoleh kejayaan dan bercadang melanjutkan pelajarannya di peringkat yang lebih tinggi.


Latihan 8

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian nyatakan satu peribahasa yang sesuai dengan setiap situasi tersebut. 

(i) Kehidupan Pak Ali sebagai penarik beca roda tiga di bandar itu amat daif, lebih-lebih lagi orang ramai semakin kurang menggunakan perkhidmatannya. Namun, dia enggan mencari kerja lain dan tidak yakin boleh membuat kerja lain. 

(ii) Abu sentiasa berusaha dengan gigih untuk mengembangkan perniagaannya. Dia memulakan perniagaan dengan menjual majalah dan surat khabar, kemudian menjual buku-buku dan alat tulis. Kini, kedai Abu semakin banyak menjual barang untuk keperluan harian masyarakat di tempatnya. 

(iii) Kamal terlalu boros dan suka berbelanja dengan mewah. Wang simpanannya telah habis dibelanjakan. Kini, baru dia sedar dan berazam untuk berjimat cermat.


 Latihan 9

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang terdapat dalam petikan ini. 

Sepuluh tahun lalu, Ahmad meninggalkan kampung halaman kerana kehidupan yang susah dan berlaku perselisihan dengan adik-beradiknya. Kini dia di perantauan dan dapat menikmati hidup yang agak selesa. Tetapi ingatan kepada kampung halaman masih membara. Dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan menetap di sana. Dia meminta maaf daripada adik-beradiknya di kampung atas kesalahannya yang lalu. Kini hubungannya dengan adik-beradik semakin mesra.


Latihan 10

Isi tempat kosong dalam petikan di bawah dengan menggunakan peribahasa yang sesuai. 

i. Pada mulanya beliau hanya bekerja sebagai pemotong daging di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur, iaitu pada awal tahun 1990. Namun kini, dengan berkat usahanya yang gigih, beliau telah menjadi Pengarah Urusan di syarikatnya sendiri. Beliau percaya bahawa ..... 

ii. Sejak tahun 1995, sedikit demi sedikit Ahmad mengusahakan keropok lekornya sendiri secara kecil-kecilan. "....., biarlah aku mulakan dengan modal yang sedikit," bisik Ahmad. 

iii. Pada peringkat awal Fatimah membuka gerai menjual pisang goreng di simpang tiga jalan yang agak sepi. Apabila melihat kejayaannya, ramai insan lain mula menceburkan diri dalam lapangan tersebut. Kini, gerai di kawasan itu....




Friday 11 April 2014

latihan Drama Tiang Cengal Dinding Sayung

SET 1
DRAMA TIANG CENGAL DINDING SAYUNG

Baca petikan drama di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

SABARIAH : Bapa itu saja hendak malukan anak-anak. Nanti orang kata, kita tak tahu balas budi orang tua. Walhal kita kirim tiap-tiap bulan. Macamlah hidupnya susah sangat. Itu, itu anak pungut tu. Entah-entah dia yang suka bapa pergi ke laut… Entah apa yang digula-gulakan bapa itu. Haah, sudahlah…! Angah penat ni. Abang tunggulah emak. (Pergi dari situ. WAN memerhatikan SABARIAH pergi)

SABRI : Tadi nak sangat tengok emak. Huh!

JIMAH : (Sayu hatinya apabila SABARIAH menengking SABRI) Aku tidak suruh sesiapa balik, Sani. Aku tidak mahu menyusahkan kau orang. Aku tunggu laki aku. Kalau kau nak balik, pergilah. Aku tunggu laki aku. Dia laki aku. Kau orang semua boleh balik. (Membuka ikatan bungkusan kain batik yang dijinjing dari tadi Dia mengeluarkan lima buah buku bank dan menyerahkan kepada SANI) Sani, ini buku bank kau orang. Beri balik pada dia orang. Pulangkan buku ini pada dia. Kamu ingat bapa pakai duit yang kamu beri, ya? Tidak. Bapa simpan semua duit yang kamu kirim dulu. Bapa simpan semua dalam bank.Emak dan bapa tidak usik satu sen pun. Nah, kauberi balik pada kakak, pada abang kau. Ambil balik semua yang kau orang beri pada kami. Ambil, ambillah balik. Satu sen pun kami tidak jamah duit itu.(Menangis tersedu-sedan)

SANI : (Buka buku simpanan bank dan terperanjat melihat isi kandungannya) Mak!  Apa sudah jadi emak? Kenapa duit ini tidak pernah emak keluarkan? Kenapa emak, kenapa emak dan bapa tidak gunakan duit yang kami beri ini? Sani beri untuk emak dan bapa buat belanja. Kenapa emak tidak gunakan?

JIMAH : Bapa tidak mahu susahkan anak-anaknya. Kudrat dia masih ada. Bapa lebih senang cari duit sendiri. Dia tahu satu hari kau orang akan ungkit soal duit ini. Kan betul?            
                                                                                                                                     [m.s. 217-218]



(i)           Mengapakah bapa tidak menggunakan wang yang dikirim oleh anak-anaknya?    [2 markah]

(ii)        Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk menyemai tabiat berjimat cermat dalam kalangan anak-anak?                                                [3 markah]

(iii)      Nyatakan dua pengajaran dalam petikan drama di atas dan dua pengajaran lain dalam keseluruhan drama.                                                                                                      [4 markah]